Ketika itu saya masih belum lagi memiliki kereta walaupun kereta secondhand. Saya ke pejabat dengan motosikal Yamaha CDI merah RA 6160 yang saya beli semasa saya bertugas di Padang Besar pada tahun 1982 dulu. Saya sampai di pejabat Kastam Kangar yang terletak di Tingkat Satu, Menara Kemajuan, Jalan Bukit Lagi kira-kira jam 7.40 pagi. Ketika menjenguk cermin kecil pada pintu utama pejabat, saya ternampak seorang lelaki berumur dalam lingkungan 50-an memandang saya dari dalam pejabat. Saya memberanikan diri membuka pintu itu dan menjengah kepala ke dalam pejabat.
"Nii..nak cari apa...?" tanya lelaki itu. Beliau berpakaian seragam baju dan seluar warna coklat kekuningan.
"Err...saya nak mai lapor diri kerja di sini" balas saya kepadanya.
"Mmmm....mai la masuk..." ujar beliau sambil membuka pintu bagi menyenangkan saya masuk ke dalam pejabat.
Saya kemudiannya masuk dan menghulurkan tangan untuk bersalam dengan beliau. Saya lihat pada name tag beliau tertera nama 'HASSAN'. saya kemudiannya baru teringat dan perasan bahawa orang yang bernama Hassan ini adalah Hassan Mat Isa, pemandu Kastam Kangar yang kami semua panggil sebagai Pak Hassan semasa bertugas di Kastam Alor Setar dulu.
Kepada Pak Hassan saya memberitahu bahawa tujuan saya pagi itu adalah untuk melapur diri bertugas di Kangar. Kebetulan pada waktu itu tidak ada lagi lain-lain pegawai yang sampai di pejabat, maka Pak Hassan terus membawa saya berjumpa dengan Encik Zamzam Abd.Rahman, Pengarah Kastam Negeri Perlis masa itu. Setelah berkenal mesra lebih kurang 10 minit, Encik Zamzam seterusnya mengarahkan saya ke Pejabat Kastam Alor Setar yang ketika itu terletak di Bangunan Tunku, Jalan Sultan Ibrahim untuk mengikuti latihan pengendalian mesin perakaunan hasil RM-20 yang baru diperkenalkan. Turut serta bersama saya ke Alor Setar pagi itu ialah Sdra Usop Shafie dan Sdri Salihah Haji Mohd Khair atau lebih dikenali sebagai Kak Char, kedua-duanya Pegawai Kastam dari Cawangan pungutan Hasil, Kangar.
Seperti yang saya sebut awal-awal tadi, Pejabat Kastam Kangar pada ketika itu menyewa di Bangunan Menara Kemajuan milik Perbadanan Ekonomi Negeri Perlis. Di sebelah Pejabat Kastam, terletak Pejabat Imigresen, Kangar yang ketika itu Pengarahnya ialah Encik Mansor Omar atau panggilan mesranya Pak Chot. Dibahagian bawah dan tingkat satu berhampiran terdapat sebuah supermarket yang ketika itu terbesar di Kangar iaitu 'Looking Good' Supermarket. Malayan Banking juga beroperasi di Tingkat Bawah, Menara Kemajuan tersebut.
Pejabat Kastam Kangar beroperasi sebagai Ibu pejabat Kastam Diraja Malaysia, Negeri Perlis yang dibuka pada 1 Januari 1990 selepas dipisahkan pentadbiran Kastam Negeri Kedah dan Perlis. Pengarah Kastam Kedah/Perlis yang terakhir ialah Encik Charern Intachart dan apabila perpisahan pentadbiran dilakukan, Encik Charern kekal sebagai Pengarah Kastam Negeri Kedah manakala Encik Zamzam Abdul Rahman, seorang pensyarah di Maktab Latehan Kastam Diraja Malaysia, Bukit Baru, Melaka dilantik sebagai Pengarah Kastam Negeri Perlis yang Pertama. Pemilihan Encik Zamzam sebagai Pengarah Kastam Perlis direstui oleh Ketua Pengarah Kastam Malaysia pada waktu itu, Dato' Mohd. Noor Abd.Hamid yang mengesan potensi bakat serta kebolehan beliau sejak di Maktab Latehan Kastam lagi.


